Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Satu statistik dikeluarkan oleh The World Factbook-Central Intelligence Agency 2016-2024 baru-baru ini mendedahkan Malaysia menduduki tangga kedua di Asia Tenggara mempunyai masalah obesiti dengan kadar peratusan sebanyak 19%.
Dalam satu statistik berlainan pula, penduduk Putrajaya direkodkan menunjukkan trend yang melebihi kadar populasi nasional dari segi kadar obesiti, kurang melakukan aktiviti fizikal dan paras kolesterol tinggi dalam darah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata statistik sama yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia turut mencatatkan kadar kemurungan dan kebimbangan (anxiety) adalah yang tertinggi dalam kalangan penduduk di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain berperanan sebagai pentadbir dan pendorong kepada prestasi atlit, ujarnya badan-badan sukan penting sebagai agen untuk membentuk masyarakat yang sihat dan aktif.
“Hal ini sebenarnya agak membimbangkan dan perlu ada intervensi daripada semua pihak termasuk peranan proaktif yang perlu dimainkan badan sukan yang kita ada ini,” katanya.
Katanya, badan sukan ini disarankan untuk menganjur dan menyokong program sukan yang dapat meningkatkan gaya hidup aktif dan penyakit tidak berjangkit bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
“Pihak kami akan cuba sedaya upaya menyediakan ruang dan fasiliti yang terbaik untuk pembangunan aspek sukan khususnya dalam usaha untuk mewujudkan bandar sihat,” katanya.
Sumber: Bernama