Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Ratusan peluru berpandu dan dron dilancarkan Iran, sebahagiannya berjaya menembusi pertahanan Israel
• Kawasan Tel Aviv, Haifa dan Ness Ziona antara yang terjejas dengan hentaman peluru berpandu
• Penduduk trauma, rumah ranap, pasukan penyelamat cari mangsa di celah runtuhan
“Seluruh rumah kami musnah, langsung tiada apa-apa yang tinggal.” Itu kata Aviad Chernichovsky, salah seorang mangsa yang keluar dari tempat perlindungan hanya untuk melihat rumahnya di Ramat Aviv tinggal rangka kayu dan timbunan serpihan.
Serangan bertalu-talu peluru berpandu dari Iran pada pagi Ahad menyebabkan kemusnahan di beberapa kawasan utama Israel termasuk sekitar Tel Aviv dan Haifa. Banyak kediaman ranap sepenuhnya dan jalan-jalan dipenuhi runtuhan bangunan. Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang mungkin terperangkap di bawah runtuhan, manakala penduduk yang terselamat dilihat saling berpelukan dan menangis.

Apa sebenarnya berlaku dalam serangan ini?
Sekitar jam 7:30 pagi waktu tempatan, dua gelombang peluru berpandu dilancarkan dari Iran, dipercayai sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas tiga tapak nuklear Iran. Serangan ini menggunakan peluru berpandu jarak jauh dengan kuasa letupan besar, termasuk menyasarkan lokasi penting seperti Lapangan Terbang Ben Gurion.
Tentera Israel memaklumkan lebih 450 peluru berpandu dan hampir 1,000 dron telah dipintas sejak serangan bermula minggu lalu. Namun sekurang-kurangnya 50 hentaman berlaku di pelbagai lokasi, satu angka yang menunjukkan sistem pertahanan canggih mereka tidak mampu menangkis kesemuanya.
Kawasan yang teruk terjejas

Antara lokasi yang mengalami kerosakan besar ialah Ramat Aviv, Ness Ziona dan Haifa. Di Haifa, sebuah dataran awam dipenuhi runtuhan, kedai dan rumah sekitar rosak teruk, cermin kedai pecah dan penghawa dingin terjungkit dari dinding bangunan. Anehnya, siren amaran tidak berbunyi di kawasan itu. Tentera sedang menyiasat kemungkinan kegagalan sistem pemintas atau kecacatan teknikal.
Datuk Bandar Tel Aviv, Ron Huldai yang melawat kawasan terjejas berkata, “Rumah-rumah di sini terkena dengan teruk sekali. Mereka yang berada di tempat perlindungan semuanya selamat. Kerosakan memang sangat besar, tapi dari segi kehilangan nyawa, kita masih okay.” – Agensi








