Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam memutuskan untuk melepaskan sementara pendakwah selebriti, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, setelah berada dalam Penjara Kajang selama 21 hari.
Keputusan itu dibuat susulan peguam kepada tertuduh, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, memohon menangguhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan, sehingga rayuan didengar dan diputuskan.
Rayuan tersebut berkaitan dengan pertuduhan rogol yang sebelum ini diputuskan oleh Mahkamah Sesyen di Shah Alam pada 30 Ogos lalu.
Walaupun butiran syarat pembebasan tidak dinyatakan secara terperinci, Mahkamah membenarkan permohonan tersebut.
30 Ogos lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Syed setelah didapati bersalah merogol seorang wanita lima tahun lalu.
Hakim Norazlin Othman menjatuhkan hukuman tersebut selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam, pada 11 September 2019. Bagi kesalahan ini, Syed menghadapi hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain daripada kes ini, Syed juga didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta. Mahkamah Sesyen Petaling Jaya membebaskannya pada 31 Mei 2022 selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Sumber: Harian Metro (Suraya Roslan)








