Pendakwah bebas direman 5 hari, disyaki seleweng dana NGO RM12.3 juta | The Reporter

Pendakwah bebas direman 5 hari, disyaki seleweng dana NGO RM12.3 juta

Penahanan seorang pendakwah bebas oleh SPRM berkaitan siasatan penyelewengan dana NGO RM12.3 juta.
Gambar: kosmo

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang pendakwah bebas yang juga pempengaruh agama di media sosial, direman selama lima hari selepas disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah kira-kira RM12.3 juta.

Perintah reman sehingga 26 April 2026 itu dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli di Mahkamah Majistret Seremban selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pagi tadi.

Menurut sumber yang dipetik Berita Harian dan Kosmo, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati suspek yang juga pengerusi NGO terbabit disyaki melakukan perbuatan itu antara September 2022 hingga kini,” kata sumber.

Suspek dipercayai menyalahgunakan jawatan dengan bersubahat bersama dua ahli jawatankuasa lain bagi memindahkan wang berjumlah kira-kira RM12.3 juta ke dalam akaun bank miliknya serta lapan akaun syarikat yang turut dikaitkan dengannya.

Baca juga:

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail, mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Susulan siasatan itu, SPRM Negeri Sembilan turut membekukan 15 akaun bank membabitkan tiga akaun persendirian, tiga akaun NGO dan sembilan akaun syarikat dengan nilai keseluruhan kira-kira RM16.5 juta.

Selain itu, pelbagai aset turut disita termasuk wang tunai berjumlah RM6,576, mata wang asing seperti Riyal 95,568 dan Dolar Singapura (SGD) 795.

Turut disita ialah tiga jam tangan bernilai kira-kira RM5,000, tiga beg tangan (RM3,000), lima gelang tangan (RM26,000), sebentuk cincin (RM2,000), satu rantai (RM7,000) serta 51 keping emas seberat satu gram yang dianggarkan bernilai RM31,000.

Related Posts