Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pempengaruh cosplay terkenal di China, Maoyouyou, ditemui mati pada 25 Februari, sehari selepas mendedahkan bahawa dia tidak makan selama dua hari akibat kesempitan hidup. Kematian wanita berusia 24 tahun itu mengejutkan ramai peminatnya, yang meluahkan kesedihan serta keprihatinan terhadap tekanan mental dan cabaran kewangan yang dihadapi golongan muda.
Keluarga Maoyouyou, atau nama sebenarnya Shi Ye, mengumumkan berita kematiannya di media sosial tanpa mendedahkan punca sebenar. “Kami tahu ramai yang masih menyayanginya. Jadi, kami tidak akan menutup akaunnya, tetapi biarkan ia kekal sebagai kenangan,” tulis keluarganya dalam satu kenyataan.
Luahan terakhir sebelum pemergian
Lapor South China Morning Post, pada 24 Februari, sehari sebelum kejadian, Maoyouyou muncul dalam siaran langsung dengan berpakaian cosplay seperti biasa. Namun, peminat menyedari dia kelihatan murung dan mengaku berada dalam keadaan mental yang teruk.
Dalam sesi itu, dia mendedahkan sudah tiga tahun tinggal di sebuah rumah sewa di Beijing, tetapi tidak mampu membayar sewa sejak beberapa bulan. “Saya hanya rasa selesa dengan berbaring di atas katil dan tidak melakukan apa-apa,” katanya, merujuk kepada konsep “berbaring rata” – satu istilah di China bagi mereka yang memilih untuk tidak lagi berusaha melawan tekanan hidup.
Lebih membimbangkan, dia turut mengakui dirinya sudah dua hari tidak menjamah makanan. Dia pernah cuba mendapatkan rawatan perubatan, tetapi gagal mendapatkan temujanji di hospital.
Beberapa jam sebelum ditemui, Maoyouyou memuat naik mesej terakhir di media sosial berbunyi, “Kita tidak akan berjumpa lagi,” seolah-olah memberi petunjuk tentang keadaannya.
Peminat berduka, seru lebih kesedaran tentang kesihatan mental
Maoyouyou mempunyai 51,000 pengikut dan sering menghadiri konvensyen anime di seluruh China. Ramai peminat yang berduka atas kehilangannya, menyuarakan simpati terhadap cabaran yang dihadapinya.
“Saya berharap ini cuma berita palsu. Saya pernah dapat keberanian menyertai konvensyen anime pertama saya kerana menonton siaran langsung awak,” luah seorang peminat.
Seorang lagi netizen berkata, “Sangat menyedihkan. Kita perlu lebih prihatin terhadap mereka yang berdepan dengan tekanan mental.”
Kematian Maoyouyou mencetuskan perbincangan tentang tekanan sosial, kesukaran hidup di bandar besar, serta kepentingan kesedaran mengenai kesihatan mental dalam kalangan anak muda China.








