Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Rumah yang digelar “Eye of Jinxi” dan terkenal sebagai nail house paling ikonik di wilayah Jianxi akhirnya ditinggalkan pemiliknya selepas tidak tahan dengan deruan bising kenderaan yang melalui kawasan berkenaan 24 jam sehari.
Kisah rumah ini pernah tular pada April lalu apabila lebuh raya baharu yang dibina mengelilinginya mula dibuka. Pemiliknya, Huang Ping sebelum ini menolak tawaran pampasan kerajaan serantau sebanyak 1.6 juta yuan (RM1.04 juta) kerana tidak bersetuju dengan syarat bayaran dibuat.
Keputusan itu akhirnya membawa penyesalan besar apabila rumahnya yang terletak betul-betul di tengah lebuh raya menjadi terasing dan hampir mustahil untuk didiami. Tanpa sebarang perlindungan bunyi, deruman enjin serta bunyi bising lori berat setiap hari memaksa Huang dan keluarganya berpindah ke bandar berdekatan bagi menyewa rumah lain.
Tanda-tanda rumah itu telah ditinggalkan mula kelihatan sejak bulan lalu apabila tingkapnya pecah dan kawasan sekeliling dipenuhi rumpai. Huang mengesahkan kepada media tempatan bahawa beliau dan keluarganya terpaksa meninggalkan kediaman tersebut kerana tidak lagi sanggup menanggung kebisingan berterusan.
Namun, nasib rumah itu masih belum dipastikan. Sekiranya ia dirobohkan, Huang hanya akan menerima sebahagian kecil daripada jumlah pampasan asal yang pernah ditawarkan kepadanya.
Baca juga:
- Pekerja ditahan, didakwa bakar gudang di Ontario, California
- Tujuh anjing ‘hilang’ jadi tular, jalan lebih 17km pulang ke rumah
- Qatar isytihar pegawai Kedutaan Iran sebagai ‘Persona Non Grata’
Sementara itu, netizen di China tidak ketinggalan menyindir Huang. Mereka mengatakan tindakan yang dibuat oleh Huang sebelum ini merugikan dirinya sendiri.
“Di kawasan pergunungan terpencil ini, kalau bukan kerana kerajaan membina jalan untuk meningkatkan kehidupan rakyat, berapa sangat harga rumah itu boleh dijual? Ada sesiapa yang mahu beli?”, katanya.
Sumber: Oddity Central, The Borderless World








