Pembuli Esha mengaku bersalah, didenda RM100 - The Reporter

Pembuli Esha mengaku bersalah, didenda RM100

Dua individu didakwa di dua mahkamah berkait kematian seorang pempengaruh TikTok dikenali Rajeswary atau Esha yang ditemukan meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa buli siber, 5 Julai lalu.

Tertuduh,yang merupakan pembantu rumah jagaan orang tua didenda RM100 kerana mengeluarkan kata-kata kesat menerusi akaun TikTok untuk membangkitkan kemarahan.

P Shalini, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret M S Arunjothy.

Mengikut pertuduhan, wanita itu dengan sengaja mengeluarkan kata-kata kesat melalui akaun TikTok alphaquinnsha dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan di sebuah premis di Jalan Ipoh, di sini, pada 4.10 pagi, 1 Julai lalu.

Komen mengaibkan ibu Esha

Dalam pada itu, seorang pemandu lori didakwa atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran komunikasi lucah serta mengaibkan ibu Esha di aplikasi TikTok.

Bagi pertuduhan pertama, B Sathiskumar, mengaku bersalah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Tiktok menggunakan nama profil Tiktok “@dulal_brothers_360” pada 30 Jun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Sathiskumar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengaibkan dan mengganggu kesantunan P R Puspa, 56, iaitu ibu kepada mendiang Esha melalui perkhidmatan aplikasi Tiktok dengan menggunakan nama profil Tiktok sama pada tarikh, masa dan tempat sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!