Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pemandu lori dikenakan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Sibu selepas mengaku bersalah membuat komen berbaur ugutan bunuh terhadap penyanyi terkenal, Baby Shima, di Facebook.
Tertuduh, Mel Maxpherson Munded, 35, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Oon Kork Chern. Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara dua bulan jika tertuduh gagal membayar denda tersebut, namun Mel berjaya membayar denda itu dan dibebaskan.
Kes bermula apabila Baby Shima, atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, membaca komen ugutan di Facebook pada 30 Disember 2024, sekitar jam 11 malam. Komen itu berbunyi: “Lagi U masuk Sarawak!!. Hati-hati, your enemy MU sudah. Jangan pulang Melaya dengan mayat saja!! Take care Baby Shima.”
Komen tersebut menyebabkan Baby Shima berasa takut dan tidak selamat, lalu membuat laporan di Balai Polis Sibu pada tengah malam Isnin, ditemani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Susulan laporan tersebut, pihak polis berjaya menahan Mel di Kota Sentosa, Kuching, pada 31 Disember 2024, sekitar jam 9.15 malam. Tertuduh kemudiannya didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding mahkamah, Mel memohon hukuman diringankan dengan alasan ini adalah kesalahan pertamanya. Dia juga menjelaskan dirinya berada di bawah pengaruh alkohol semasa membuat komen tersebut. Mel turut memaklumkan bahawa dia perlu menjaga ibunya yang uzur serta menyara isteri dan anaknya.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Siti Mariyah Dahari.
Sumber: Kosmo! Online, Harian Metro








