Pemandu e-hailing dimaki kerana enggan bawa enam penumpang | The Reporter

Pemandu e-hailing dimaki kerana enggan bawa enam penumpang

Pemandu e-hailing bersama enam penumpang termasuk kanak-kanak dalam kereta
Situasi dalam kereta e-hailing ketika enam penumpang termasuk tiga kanak-kanak menaiki kenderaan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Satu rakaman dashcam tular di media sosial memaparkan seorang pemandu e-hailing dimarahi penumpang selepas enggan membawa enam orang dalam keretanya. Insiden berlaku pada 5 Julai 2025, sekitar jam 7.46 malam.

Terdahulu, pemandu berkenaan yang dipercayai Orang Kurang Upaya (OKU) menerima satu tempahan. Namun sebaik tiba di lokasi, dia terkejut apabila seramai enam individu termasuk tiga kanak-kanak masuk ke dalam kereta bersaiz kompak yang hanya dibenarkan membawa lima penumpang sahaja.

Baca juga:

Seorang lelaki dewasa yang dipercayai ketua keluarga itu mengakui jumlah mereka melebihi had, tetapi memberi alasan bahawa yang lebihnya hanyalah kanak-kanak.

Namun, pemandu itu dengan tenang menjawab. “Bukan duit punya pasal. Tak boleh, nanti saya ditahan pihak berkuasa. Sebelum ini pun saya sudah kena, memang tak boleh.”

Beliau kemudian memohon maaf dan menyarankan agar tempahan dibatalkan, serta mencadangkan agar mereka menempah kenderaan e-Hailing yang mempunyai enam tempat duduk.

Penjelasan ditolak, pemandu terus ditekan penumpang

Bagaimanapun, penjelasan pemandu itu tidak diterima baik. Dua wanita dewasa yang duduk di belakang mula membebel dan mempersoalkan sikapnya yang didakwa tidak mahu menolong.

“Kau ni susah betul nak tolong orang. Tak nampak ke ada budak kecil dan orang tua ni, tak boleh tolong?”

Keadaan menjadi lebih tegang apabila bapa kepada wanita tersebut keluar dan menutup pintu belakang dengan kasar hingga mengejutkan pemandu berkenaan. Seluruh kejadian dirakam melalui dashcam dan dimuat naik ke media sosial, mencetuskan perbincangan hangat.

Netizen sokong pemandu, kecam penumpang kurang adab

Majoriti netizen menyokong tindakan pemandu yang tetap patuh pada peraturan walaupun ditekan penumpang. Mereka anggap pemandu itu berintegriti kerana tidak tunduk kepada permintaan yang jelas melanggar had kapasiti kenderaan.

Mereka juga mengkritik sikap penumpang yang dikatakan terlalu mendesak, tidak sensitif terhadap undang-undang, serta menunjukkan contoh tidak baik kepada anak-anak yang turut berada dalam kereta.Tindakan seperti menghempas pintu, membebel dengan nada kasar dan menyalahkan pemandu atas hal yang berpunca daripada diri sendiri, dianggap tidak beradab dan memalukan.

Malah ada yang mempersoalkan, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini sepanjang perjalanan seperti kemalangan atau sekatan jalan raya, sudah tentu pemandu akan dipersalahkan terlebih dahulu walaupun dia sebenarnya dipaksa melanggar peraturan.

Video ini membuka isu kesedaran dalam kalangan pengguna perkhidmatan e-hailing. Walaupun kanak-kanak kecil, peraturan tetap peraturan dan keselamatan semua orang, termasuk kanak-kanak itu sendiri harus diutamakan.

Related Posts