Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pemandu bas persiaran mencetuskan kemarahan ramai apabila dirakam memandu secara berbahaya di lebuh raya, termasuk menghimpit kenderaan lain serta menunjukkan isyarat lucah kepada pemandu yang lain.
Kejadian yang dirakam dalam sebuah video tular di media sosial itu memaparkan bas berkenaan dipandu laju di laluan kecemasan sambil memotong beberapa kenderaan lain. Tindakan berkenaan secara jelas melanggar undang-undang jalan raya dan membahayakan pengguna lain.
Lebih mengejutkan, pemandu terbabit dilihat menunjukkan isyarat lucah ke arah individu yang sedang merakam kejadian tersebut. Tindakannya itu dipercayai berlaku selepas menyedari dirinya sedang dirakam.
Tidak cukup dengan itu, pemandu bas tersebut kemudiannya bertindak lebih agresif apabila menghimpit kenderaan yang dinaiki perakam, menyebabkan situasi menjadi cemas dan panik dalam kalangan penumpang kereta tersebut. Pemandu kenderaan itu dilihat membunyikan hon beberapa kali sebagai tanda amaran terhadap pemandu bas berkenaan.
Menerusi video tular berkenaan, beberapa individu turut tampil berkongsi pengalaman mereka, mendakwa pemandu bas sama pernah terlibat dalam kejadian serupa melibatkan buli jalanan.
“Hari tu pun ada kes pasal bas ni. Driver ni memang tunggu masa nak dapat hadiah dari JPJ dengan lokap,” kata seorang netizen di ruangan komen.
Susulan kejadian itu, orang ramai memohon agar pihak berkuasa termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis trafik segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap pemandu terbabit sebelum perkara yang lebih buruk berlaku.








