'Pelancong Malaysia sumbang 2 bilion Baht pada ekonomi Hatyai' - Setakat 24 Disember, 4.43 juta pelancong dari Malaysia berkunjung ke Thailand - The Reporter

‘Pelancong Malaysia sumbang 2 bilion Baht pada ekonomi Hatyai’ – Setakat 24 Disember, 4.43 juta pelancong dari Malaysia berkunjung ke Thailand

Gambar hiasan (Artificial Intelligence)

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Kunjungan rakyat Malaysia ke destinasi popular Hatyai meningkat dua kali ganda kepada 20,000 orang setiap hari semasa Krismas dan musim cuti hujung tahun. Situasi tersebut dilaporkan telah menyumbang kepada 2 bilion baht kepada ekonomi tempatan dalam tempoh dua minggu sebelum tahun berakhir.

Menurut Presiden Persatuan Hotel-Hotel Songkhla, Hatyai (Hatyai Songkhla Hotels Association), Sitthipong Sitthiprapha, daya tarikan Hatyai yang tidak dapat dinafikan terletak pada gabungan pilihan makanan yang enak dan beraneka selain akses yang mudah dan pilihan penginapan pada harga berpatutan yang menarik minat ramai rakyat Malaysia.

Beliau berkata, Hatyai telah mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi kegemaran bagi penggemar pelancongan yang mencari percutian yang menarik dan mesra bajet.

Peningkatan jumlah pelawat

Pada hari biasa sepanjang tahun, beliau berkata, Hatyai pada kebiasaannya menikmati aliran stabil kira-kira 5,000 pelawat Malaysia setiap hari, meningkat dua kali ganda kepada hampir 10,000 pada hujung minggu.

“Hatyai mengalami peningkatan yang ‘menggembirakan’ dalam bilangan pengunjung dari Malaysia sepanjang musim cuti hujung tahun.

“Pada hujung minggu musim puncak (Krismas dan Tahun Baru), Hatyai menerima purata 20,000 rakyat Malaysia setiap hari, manakala pada hari biasa terdapat kira-kira 10,000 pelawat.

“Semasa sambutan Krismas dan Tahun Baru, perbelanjaan purata pelancong Malaysia bagi setiap perjalanan mencecah 10,000 baht bagi setiap orang.

“Oleh itu pelancong Malaysia dianggarkan menyumbang kira-kira 2 bilion baht kepada ekonomi Hat Yai semasa sambutan Krismas dan Tahun Baru ini,” katanya.

Lonjakan permintaan hotel

Sitthipong juga menyatakan hotel Hatyai telah menyaksikan lonjakan permintaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan penginapan di pusat bandar, kawasan popular untuk pelancong Malaysia, ditempah sepenuhnya semasa kemuncak minggu percutian.

Beliau berkata, Hatyai kini mempunyai kira-kira 20,000 bilik, termasuk 8,000 hingga 12,000 yang tertumpu di pusat bandar.

Kementerian Pelancongan dan Sukan berkata, Thailand menyambut 27.25 juta pelancong dengan pelancong Malaysia mendahului senarai dengan 4.43 juta, diikuti oleh China (3.41 juta) dan Korea Selatan (1.6 juta), India (1.58 juta) dan Rusia (1.42 juta), setakat 24 Disember lepas.

Sumber: Bernama

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!