Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kunjungan singkat ke Kuala Lumpur cukup untuk membuat seorang pelancong dari India hilang kata. Dalam perkongsiannya di Reddit, Desi_stoic mengakui buat pertama kali rasa malu menjadi rakyat India selepas menyaksikan sendiri bagaimana Malaysia, khususnya Kuala Lumpur yang lebih tersusun, bersih dan maju berbanding negaranya sendiri.
Difahamkan, Malaysia bukan destinasi percutian asal. Dia pada mulanya merancang pergi ke Vietnam, tetapi terpaksa mengubah haluan ke Kuala Lumpur kerana ramalan cuaca yang tidak mengizinkan.
“Bandar Kuala Lumpur kelihatan sangat terancang dan tersusun. Tiada jalan berlubang, tiada gambar atau sepanduk ahli politik, kebersihan di mana-mana, kesedaran sivik yang sangat tinggi, kualiti hidup yang baik, udara bersih dan rakyat yang mesra.”
Baca juga:
- Kerajaan mungkin pertimbang potong gaji menteri jika ekonomi semakin mencabar
- Isu aurat dalam tahanan: Muslimat PAS gesa penambahbaikan segera
- Kisah ‘Mahasiswa Abadi’: Tesis didakwa diambil rakan, Dessy kini alami tekanan mental
Kenapa dia tiba-tiba hilang harapan terhadap negaranya?
Menurut Desi_stoic, dia selama ini tidak setuju dengan tindakan rakyat India yang berhijrah ke luar negara. Namun selepas berkunjung ke Malaysia, dia mulai faham kenapa ramai yang memilih untuk terus tinggal di luar dan tidak mahu pulang ke tanah air.
“Saya selalu menolak idea rakyat India berhijrah ke luar negara, tetapi kali ini saya mula rasa kasihan kepada pelancong asing yang datang ke India atau warga India yang terpaksa pulang kerana pelbagai sebab.”

Dia turut menyentuh isu asas seperti kemudahan awam dan persekitaran hidup. India katanya, memiliki sumber dan tenaga kerja yang besar, tetapi masih tidak mampu menyediakan kemudahan asas kepada rakyat sendiri.
“Kita ada semua sumber dan potensi untuk jadi negara hebat, tetapi kita masih bergelut mendapatkan kemudahan asas. Kita terlalu sibuk bergaduh tentang isu kecil, terlalu seronok dengan kemenangan Indian Premier League (IPL) atau Twenty20 (T20), taksub dengan selebriti atau terlalu asyik meraikan ahli politik kegemaran tanpa pernah bertanya tentang prestasi mereka.
“Saya tak mahu terlalu negatif, tapi jujurnya saya seakan hilang harapan. Melihat keadaan sekarang, matlamat untuk berubah nampak sangat jauh.”

Bila pelancong lebih menghargai Malaysia berbanding rakyat sendiri
Perkongsian itu membuka mata ramai rakyat Malaysia. Kadang-kadang, kita sendiri mungkin lupa menghargai apa yang kita ada sehinggalah datang orang luar yang menunjukkan betapa bertuahnya kita.
Walaupun Malaysia bukan negara sempurna, tahap kebersihan, susun atur bandar dan sikap rakyat yang sopan tetap memberi kesan besar kepada mereka yang datang dari jauh.








