Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelakon wanita bersama suaminya ditahan semula oleh polis bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan pelaburan membabitkan penjualan lembu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata, pasangan berkenaan ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Memetik laporan Berita Harian, kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.
“Untuk makluman, berkenaan pelakon dan suaminya telah ditangkap oleh BSJK IPD Dang Wangi berkaitan pelaburan dalam penjualan lembu.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman,” katanya.
Sebelum ini, pasangan terbabit dilaporkan turut disiasat dalam beberapa kes penipuan lain termasuk membabitkan urusan penjualan tanah kurnia di Selangor serta penipuan darjah kebesaran yang menyebabkan kerugian kira-kira RM23,000.
Baca juga:
- ‘Kami orang tengah sahaja’ – Aliff Syukri, Shahida serah RM40,000 buat Azar Azmi
- ‘Kesilapan saya sebab terlalu percayakan orang’ – Azar Azmi
- Namron zahir sokongan, minta Que Haidar terus kuat
Terdahulu, pelakon wanita tersebut ditahan di sebuah madrasah tahfiz di Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, selepas dipercayai bersembunyi di lokasi berkenaan.
Penahanan itu dibuat susulan laporan seorang ahli perniagaan lelaki berusia 56 tahun yang mendakwa ditipu dalam urusan mendapatkan beberapa lot tanah kurniaan kerajaan negeri Selangor di bawah Mukim Cheras.
Mangsa mendakwa telah membuat pembayaran keseluruhan berjumlah RM1.5 juta ke akaun bank milik pelakon wanita itu serta bapa kepada suaminya.
Sebelum ini kes berkenaan tular di media sosial apabila seorang wanita, wanita mendakwa dirinya kerugian kira-kira RM300,000, manakala mangsa lain dipercayai mengalami kerugian sehingga berjuta-juta ringgit gara-gara menjadi mangsa penipuan pelakon wanita dan suaminya.








