Shia LaBeouf, pelakon Hollywood yang terkenal dengan peranan dalam filem Transformers, telah menjadi tumpuan selepas sebuah video muncul menunjukkan dia bersedia untuk bertarung dengan sekumpulan lelaki di luar sebuah pub di Edinburgh.
Dalam rakaman tersebut, LaBeouf terdengar memanggil “Marilah, aku kat sini, mak kau hijau!” (terjemahan santai) sambil melemparkan topinya dan bersedia untuk bertumbuk, namun dua lelaki lain cuba menghalangnya berbuat demikian.
LaBeouf kini berada di Scotland sementara isterinya, Mia Goth, sedang berlakon dalam filem Dr. Frankenstein arahan Guillermo del Toro yang dijadualkan akan ditayangkan pada tahun 2025.
Pasangan ini telah dilihat di Edinburgh dan Glasgow dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Sehari sebelum rakaman video tersebut tular, seorang pekerja bar memberitahu The Sun bahawa mereka melihat pelakon itu di pub Whistlebinkies dan dia sangat ramah dengan pelanggan lain.
“Dia berada di sana pada hari Jumaat. Dia sangat ramah dengan orang di situ,” kata pekerja tersebut.
Ini bukan kali pertama LaBeouf terlibat dalam kontroversi. Pada tahun 2014, LaBeouf yang berada dalam keadaan mabuk, ditahan di luar teater Studio 54 di bandar New York kerana mengganggu persembahan Cabaret. LaBeouf mengaku bersalah atas perbuatannya dan diperintah menjalani program rawatan.
Tiga tahun kemudian, LaBeouf ditahan sekali lagi di Georgia atas tuduhan yang sama. LaBeouf kemudiannya memohon maaf secara terbuka dan menulis di Twitter.
“Saya sangat malu dengan tingkah laku saya dan tidak memberikan alasan untuk itu”. – Agensi