Pelajar UPM raih tumpuan, hasilkan kopi melalui biji mangga | The Reporter

Pelajar UPM raih tumpuan, hasilkan kopi melalui biji mangga

Sumber Gambar: Tangkap layar Buletin TV9

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Siapa sangka biji mangga yang biasanya dibuang kini boleh dijadikan kopi yang lazat dan berkhasiat?

Tidak dapat dinafikan, minuman kopi antara minuman kegemaran rakyat Malaysia. Aroma kopi yang memukau pasti memikat hati sesiapa sahaja.

Penyelidikan terkini oleh pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurul Iwani Jaidi, telah menemui cara untuk mengubah biji mangga menjadi serbuk kopi yang bernilai tinggi.

“Sisa biji mangga yang sering dijadikan bahan buangan mendorong kami melakukan kajian khusus mengenainya. Potensinya besar dan ramai orang tidak tahu bahawa biji mangga mempunyai rasa unik serta mirip kopi,” katanya.

Menurut Nurul Iwani, proses pembuatan kopi biji mangga melibatkan beberapa langkah mudah. Biji mangga dikeringkan, ditapai, dan kemudian dikisar menjadi serbuk kopi. Hasilnya adalah minuman yang bukan sahaja mempunyai aroma yang unik tetapi juga kaya dengan antioksidan dan nutrien penting.

Menariknya, kopi ini juga bebas kafein, menjadikannya pilihan yang baik bagi mereka yang sensitif terhadap kafein.

Penemuan ini membuka peluang ekonomi baru, terutamanya bagi petani mangga. Dengan memanfaatkan biji mangga yang sebelum ini dianggap sebagai sisa buangan, mereka kini boleh menghasilkan produk tambahan yang bernilai tinggi. Ini juga membantu mengurangkan sisa buangan dan menyokong amalan pertanian yang lebih lestari.

Sumber: Buletin TV9

Related Posts