Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dua pelajar cemerlang dari Malaysia mencuri tumpuan apabila diterima masuk ke Kolej Harvard, institusi sarjana muda Universiti Harvard yang terkenal sebagai antara yang terbaik di dunia. Mereka ialah Athena Siow dari Kuala Lumpur dan Namira Lee Tzu dari Kuala Terengganu, yang akan memulakan pengajian bagi sesi akademik yang bakal berakhir pada tahun 2029.
Athena merancang untuk mengambil jurusan sains data (kerajaan), manakala Namira memilih bidang sains dan kejuruteraan alam sekitar. Athena merupakan bekas pelajar Kolej Yayasan Saad dan penerima biasiswa Yayasan UEM, manakala Namira ialah bekas pelajar SMK Chung Hwa Wei Sin dan menerima biasiswa Global PNB.
Presiden Kelab Harvard Malaysia, Wan Nadiah Wan Abdullah Yaakob berkata, pencapaian ini membuktikan semakin ramai pelajar dari sekolah kerajaan dan keluarga berpendapatan sederhana berjaya menembusi institusi berprestij itu. “Kami sangat berbangga kerana pelajar Malaysia yang diterima masuk ke Kolej Harvard bukan sahaja berbakat, malah aktif menggunakan peluang di sekeliling mereka untuk memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
- ‘Lahir di Malaysia, tapi…’- Lelaki luah rasa kecewa fikir masa depan
- Isu gelaran juara, Zaha Spring pertahan kenyataan Ameng
- Siti Mastura gagal rayuan kes fitnah pemimpin DAP
- Lelaki maut, lima ahli keluarga cedera kereta terjunam gaung
- Dari gurauan jadi kenyataan, lelaki sahut cabaran TokTi joging 8KM
Athena bukan sekadar cemerlang di atas kertas. Beliau pernah mewakili Malaysia ke Persidangan Belia COP 2023 di Dubai dan aktif melatih gadis-gadis muda dalam program Pandu Puteri. Selain itu, beliau mengajar catur secara sukarela di Melaka dan membantu sekolah pelarian di kawasan kejiranannya.
Namira pula giat dalam bidang pemuliharaan alam sekitar. Beliau dipilih menyertai Program Kepimpinan Belia Asia Tenggara tajaan Amerika Syarikat dan berjaya memperoleh geran selama dua tahun berturut-turut. Dengan dana tersebut, Namira memulakan projek pemuliharaan penyu bersama WWF dan pelajar sekolah menengah, yang kemudian dikembangkan ke sekolah rendah Cina.
Universiti Harvard kini berada di tangga keempat dalam senarai QS World University Rankings 2024. Dengan kadar kemasukan yang sangat ketat, hanya segelintir rakyat Malaysia pernah menamatkan pengajian di Kolej Harvard — kurang daripada 15 orang setakat ini.








