Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelajar Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan maut selepas mengalami kecederaan parah dipercayai terkena bilah sabit pada bahagian leher dalam satu kejadian yang berlaku di Teluk Intan, semalam.
Dalam kejadian tersebut, mangsa yang merupakan lelaki berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius yang dialaminya.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, seorang lagi mangsa berusia 17 tahun yang juga rakan sekolej mangsa turut tercedera dan kini menerima rawatan di hospital akibat kecederaan pada tangan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebilah sabit berhulu panjang yang dibawa oleh seorang lelaki menaiki motosikal dipercayai terkena pada bahagian leher mangsa.
“Ketika kejadian, mangsa sedang menunggang motosikal sebelum sabit yang dibawa lelaki terbabit terkena pada bahagian lehernya,” katanya.
Baca juga:
- JPNS larang sekolah tahan sijil pelajar gagal bayar yuran PIBG
- ‘Tiada pelanggaran SOP iring banduan’ – Jabatan Penjara
- Kanak-kanak 7 Tahun alami kecederaan serius, 50% saraf kaki rosak akibat dilanggar kereta
Susulan insiden tersebut, pihak polis telah menahan dua lelaki warga asing masing-masing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.
Selain penahanan suspek, polis turut merampas sebilah sabit serta sebuah motosikal yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu.
Kedua-dua suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.








