Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pekerja pembersihan cedera selepas ditembak seorang lelaki dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden tersebut sekitar jam 10.50 malam.
Baca: Insiden tembakan di pusat beli-belah Setia Alam, pengunjung panik lari selamatkan diri
“Siasatan mendapati mangsa yang sedang menyimpan peralatan pembersihan di aras P1 tiba-tiba ditembak sebanyak empat das oleh seorang lelaki yang belum dikenal pasti, mengenai kaki dan punggungnya. Mangsa kemudian melarikan diri ke dalam pusat beli-belah untuk mendapatkan bantuan, manakala suspek melarikan diri ke aras P2,” katanya dalam kenyataan.
Suspek kemudiannya melepaskan beberapa tembakan ke arah cermin tingkap tangga dan pintu gelangsar di aras P2 sebelum melarikan diri.
Menurut Hussein, sebelum insiden itu, seorang lelaki yang sedang memandu dari aras P3 ke P2 telah ditahan oleh suspek sekitar jam 10 malam.
“Namun, pengadu tidak memberhentikan kenderaannya menyebabkan suspek melepaskan satu das tembakan yang mengenai keretanya,” katanya.
Seorang lagi saksi, yang juga pemandu tempatan, turut berdepan detik cemas apabila suspek mengacukan pistol kepadanya di aras P2 dan memaksanya membawa suspek keluar dari lokasi sebelum menurunkannya di susur keluar Lebuhraya KESAS ke Pandamaran.
Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui 13 kelongsong peluru di kawasan tangga dan tempat letak kenderaan di aras P1, P2 dan P3.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (FIPA) serta Seksyen 307 dan 384 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Shah Alam di talian 03-5520 2222.