Pekerja pasar malam dipenjara 2 bulan curi 597 kotak susu bernilai RM22,000 - The Reporter

Pekerja pasar malam dipenjara 2 bulan curi 597 kotak susu bernilai RM22,000

Pekerja pasar malam curi susu
Foto: New Straits Times

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Seorang pekerja pasar malam berusia 34 tahun, Hamim Heji, dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret semalam selepas mengaku bersalah mencuri 597 kotak susu bernilai RM22,000.

Majistret Amira Sariaty Zainal memerintahkan Hamim, yang juga bapa kepada tiga anak, menjalani hukuman penjara itu serta-merta.

Berdasarkan pertuduhan, Hamim bersama dua lagi individu yang masih belum didakwa, dituduh mencuri 261 kotak susu UHT Coklat 1 liter dan 336 kotak susu UHT Full Cream 1 liter milik syarikat Dutch Lady Milk Industries Berhad. Kejadian berlaku di sebuah kilang produk tenusu di Jalan Prof Khoo Kay Kim, di sini, antara jam 4.51 pagi pada 1 Julai dan 4.43 pagi, 22 Julai 2023.

Hamim didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, M. Soosai Raj, yang mewakili Hamim memohon hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM900 sebulan sebagai pekerja pasar malam dan perlu menanggung tiga anak kecil berusia 7, 5, dan 3 tahun.

“Ini adalah kesalahan pertama tertuduh, dan saya memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara selama sehari,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie meminta mahkamah mengambil kira kerugian besar yang dialami syarikat berkenaan dan menegaskan hukuman harus menjadi pengajaran serta mengambil kira kepentingan awam. – New Straits Times

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!