Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Susulan tular video pegawai kanan polis yang menengking dua anggota bawahan dengan kata-kata yang berbaur penghinaan, polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes itu kini sedang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan.
“Menerusi laporan polis yang dibuat oleh anggota polis yang terbabit dalam kes ini, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya memetik laporan daripada Harian Metro.
Pihak polis akan mengeluarkan satu kenyataan media berhubung kes tersebut dalam masa terdekat.
Sejak semalam, video pegawai kanan polis berkenaan menengking dua anggota bawahan tular di media sosial yang mengundang kemarahan netizen.
Bagi netizen, pegawai kanan terbabit tidak layak menjawat jawatan tersebut kerana sikapnya yang begitu angkuh dan sombong terhadap anggota bawahan yang hanya sekadar menjalankan tugas.
Sejak penularan video tersebut, netizen juga menyerang Facebook pegawai itu. Ruangan komen di beberapa postingnya yang terkini dibanjiri dengan komen netizen mengucapkan ‘selamat bersara’ kepadanya.