MKM nafi kenyataan tular dakwa hilang kepercayaan terhadap Anwar Ibrahim | The Reporter

MKM nafi kenyataan tular dakwa hilang kepercayaan terhadap Anwar Ibrahim

Setiausaha Agung Mahasiswa Keadilan Malaysia menafikan kenyataan tular berkaitan hilang kepercayaan terhadap Anwar Ibrahim
Gambar: Malaysia Gazette

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Setiausaha Agung Mahasiswa Keadilan Malaysia, Aqeef Salih, menafikan bahawa satu kenyataan media yang tular hari ini merupakan pendirian rasmi organisasi itu, sekali gus menegaskan ia tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui melalui saluran rasmi.

Beliau berkata kenyataan tersebut didakwa hanya dikeluarkan oleh beberapa individu dalam pimpinan pusat tanpa mandat organisasi sebenar.

“Kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan, dipersetujui atau diputuskan melalui saluran rasmi MKM. Ia hanyalah tindakan beberapa kerat individu dalam pimpinan pusat yang mempunyai agenda tersendiri dan mengambil kesempatan menggunakan platform MKM untuk menimbulkan kekeliruan serta persepsi negatif terhadap organisasi,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai tidak profesional kerana tidak menyertakan nama atau jawatan individu yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Ini jelas menunjukkan ia dibuat secara tidak profesional, tidak bertanggungjawab dan berniat tidak baik. Mana-mana pihak yang benar-benar berani dengan pendirian sendiri sepatutnya tampil secara terbuka, bukannya berselindung di sebalik nama organisasi mahasiswa,” katanya lagi.

Aqeef menegaskan bahawa MKM berpegang kepada disiplin organisasi, adab perjuangan serta proses demokrasi yang matang, selain tidak akan membenarkan platform mahasiswa diperalat untuk kepentingan politik individu.

“MKM sebagai sayap mahasiswa KEADILAN akan sentiasa menghormati institusi presiden dan menyokong penuh kepimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Baca juga:

Tambah beliau, pihak sekretariat akan meneliti isu berkenaan secara serius dan tidak menolak kemungkinan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama MKM tanpa kebenaran.

Sebelum ini, satu kenyataan tular di media sosial mendakwa majoriti ahli Majlis Pimpinan Pusat Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Parti Keadilan Rakyat di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa MKM akan mengumumkan hala tuju baharu pada 11 Mei 2026 di Kuala Lumpur serta menyeru ahli muda menilai semula perjuangan politik semasa.

Related Posts