Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang mencari dua lelaki Singapura yang terbabit dalam pergaduhan dengan seorang penghantar makanan yang menegur mereka mengisi minyak dalam tong untuk kegunaan Go-Kart.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, PDRM akan mendapatkan bantuan daripada Polis Singapura (SPF) untuk mengesan dua lelaki berkenaan.
Difahamkan, dua lelaki itu dikehendaki untuk membantu siasatan kerana pihaknya sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Siasatan awal mendapati, berlaku perselisihan faham di antara tiga individu terbabit. Dua lelaki Singapura itu tidak berpuas hati dengan penghantar makanan yang didakwa lambat mengisi minyak motosikal.
Dalam kejadian yang berlaku di stesen minyak berdekatan Sunway Box pada 16 Jun lalu, pengadu pula mendakwa dua lelaki Singapura itu melanggar peraturan. Di mana warga asing tidak dibenarkan mengisi minyak dalam sebarang jenis bekas termasuk tong.
Perselisihan faham itu hampir menyebabkan pengadu dipukul dan diserang menggunakan pengunci stereng.
Disebabkan video tular itu, perkhidmatan pengadu sebagai penghantar makanan juga telah digantung sementara. Grab menjelaskan pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa pengadu menggunakan pemutar skru untuk menyerang mereka. Namun perkara itu dinafikan oleh pengadu.
Setelah beberapa jam kemudian, pengadu diibenarkan meneruskan tugasnya selepas netizen mengancam memboikot perkhidmatan Grab di seluruh Malaysia.
Sumber: Harian Metro