Pasangan warga emas yang pernah ditahan kerana disyaki berkhalwat, sekali lagi dicekup bersekedudukan dalam serbuan di rumah lelaki berusia 81 tahun di Lubok China pada Isnin.
Serbuan sekitar jam 10 malam itu dilakukan oleh imam, ketua kampung, anggota polis serta penduduk setempat selepas menerima aduan bahawa pasangan berkenaan sering dilihat berdua-duaan.
Menerusi laporan Berita Harian, lelaki terbabit yang baru kehilangan isterinya bulan lalu sering membawa wanita berusia 69 tahun dari kampung lain dalam daerah sama untuk keluar bersama, sebelum akhirnya mereka ditahan di rumahnya sendiri.
“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka gagal mengemukakan dokumen sah pernikahan. Sebelum ini pun, pasangan sama pernah ditahan di rumah wanita berkenaan,” katanya.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Difahamkan, pasangan itu pernah merancang untuk bernikah namun tidak kesampaian selepas wanita terbabit dikatakan mengalami gangguan mental ringan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan tanpa nikah.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed, berkata pihak polis hanya membantu dari segi keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini semasa operasi dilakukan.
Operasi serbuan itu turut tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.








