Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pemandu dipercayai di bawah pengaruh alkohol melanggar sepasang suami isteri sehingga maut dalam satu kejadian di simpang empat lampu isyarat Jalan Besar/Jalan Masjid, awal pagi semalam. Kejadian tragis ini menyebabkan lima anak pasangan terbabit berusia antara 3 hingga 17 tahun menjadi yatim piatu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan berlaku pada jam 4 pagi melibatkan motosikal Honda Vario yang dinaiki mangsa dan sebuah Perodua Alza.
Pemandu kereta berusia 34 tahun itu dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikal pasangan tersebut yang sedang menuju ke Bandar Pasir Gudang. Akibat pelanggaran, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan isterinya, Linda Mohd A Aziz, 35, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Anak tiri mangsa, Muhammad Ikmal Danish, 15, berkata, “Apabila rakan beritahu ayah dan mak terbabit dalam kemalangan, saya hanya mengharapkan salah seorang masih bernyawa untuk kami lima beradik, tetapi dua-dua sudah tiada.”
Harapkan keadilan
Ibu kepada Mohd Ridzwan, Ramlah Kasiran, 56, meluahkan rasa terkejut apabila mengetahui kedua-dua anak dan menantunya terlibat dalam kejadian tersebut.
“Ingatkan hanya anak saya seorang kemalangan, rupa-rupanya menantu saya juga turut menjadi mangsa. Saya harap keadilan diberikan kepada arwah anak dan menantu saya. Saya kehilangan anak, manakala cucu saya menjadi yatim piatu,” katanya.
Ramlah kini memikul tanggungjawab menjaga kelima-lima cucunya dengan suami, walaupun mereka hanya bergantung kepada pendapatan sebagai pemandu forklift.
Pesanan terakhir
Menurut Muhammad Ikmal, ibu bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum kejadian, namun tiga hari sebelumnya mereka sempat berpesan kepadanya agar menjaga adik-beradik.
“Mak dan ayah pesan, jangan berpisah walau apa pun yang berlaku. Adik bongsu tahu ayah dan mak sudah tiada. Saya cuba kuat untuk adik-adik,” katanya.
Jenazah pasangan itu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Masai, petang semalam. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.
Sumber: Harian Metro








