Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Sepasang suami isteri di Melaka dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM400 selepas mengaku bersalah mencuri barangan bernilai hanya RM70.69, termasuk empat tin minuman keras, dari sebuah pasar raya dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat Mahkamah Majistret Melaka selepas kedua-duanya, Tengku Azman Tengku Jalal, 46, dan Siti Nurulaini Johari, 40, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radiah Zainurin pada Selasa.
Berdasarkan pertuduhan, pasangan itu mencuri beberapa barangan dari pasar raya Lotus Cheng, Taman Paya Rumput Utama, pada 27 September 2023 kira-kira jam 6.30 petang.
Antara barangan diambil ialah 12 unit WC precut seberat 1.666 gram, lima ekor ikan cencaru, dua deodoran, kicap dan empat tin arak, dengan nilai keseluruhan RM70.69.
Baca juga:
- George Galloway tolak perbandingan komuniti Cina di Malaysia dengan Palestin
- ‘Senang cipta keserasian bila bermadu dengan kawan sendiri’
- ‘Siapa kita nak kata haram atau halal? – Fasha Sandha bidas pempengaruh TikTok
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliyah Ahmad Kamarulnajuib, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap perbuatan mencuri dalam premis perniagaan.
Bagaimanapun, peguam Amritpal Singh merayu hukuman diringankan dengan alasan pasangan itu tertekan akibat masalah kewangan.
Katanya, Siti Nurulaini tidak bekerja dan menghidap sakit buah pinggang, manakala suaminya bekerja sebagai penghantar barang bagi menyara tiga anak.
“Kejadian berlaku akibat tekanan ekonomi dan barangan yang dicuri adalah keperluan asas. Tertuduh juga telah insaf dan mohon hukuman rendah,” katanya di mahkamah.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM400 kepada setiap tertuduh atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda.
Kes ini menjadi antara contoh bagaimana tekanan hidup boleh mendorong kesalahan kecil bernilai puluhan ringgit, namun tetap dianggap serius di sisi undang-undang.
Sumber: Sinar Harian









