Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Tindakan UMNO yang membatalkan himpunan solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri, Najib Razak dianggap penakut dan sekadar berpura-pura.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti PAS akan meneruskan kehadiran ke himpunan berkenaan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, esok.
Tindakan parti berkenaan ujarnya sama sekali tidak menyalahi undang-undang dan akan meneruskan program berkenaan seperti dirancang.
“Kita akan teruskan dan tindakan kita bukan untuk mengadakan huru hara sebaliknya hanya berhimpun secara aman bagi mengetahui sama ada wujud atau tidak Titah Adendum.
“Apa yang pasti kita akan teruskan sebagaimana yang dirancang. Tiada siapa yang boleh menyekat kita untuk ke mahkamah. UMNO batalkan hasrat mereka itu terpulang kepada parti itu.
“Mungkin UMNO penakut atau hanya sekadar berpura-pura selama ini,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan UMNO membatalkan himpunan solidariti bagi menyokong Najib yang akan diadakan esok di Istana Kehakiman Putrajaya.
Keputusan berkenaan dibuat susulan menghormati prinsip menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana arahan Ketua Polis Negara.
Sumber: Berita Harian