Kerajaan bakal melaksanakan kaedah baharu dalam penyasaran subsidi petrol RON95 dengan menjadikan MyKad sebagai medium pembayaran dan PADU sebagai sistem semakan kelayakan. Pelaksanaan dijangka bermula pada penghujung bulan ini, lapor Bernama.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan itu dirangka bagi mengelakkan ketirisan dan memastikan hanya golongan yang benar-benar layak menerima manfaat. Beliau memberi jaminan majoriti rakyat tidak akan terkesan dengan perubahan ini.
Beliau menjelaskan perkara itu ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, susulan pertanyaan Senator Rose Suryati Alang berhubung langkah kerajaan memastikan kelancaran sistem baharu. Katanya, kerajaan kini sedang memuktamadkan kriteria bersama pihak berkepentingan sebelum pengumuman rasmi dibuat.
Baca juga:
- Lelaki warga emas cedera dipercayai digigit buaya ketika menjala udang
- Jemaah haji wanita Malaysia meninggal dunia di Makkah
- Insiden Platform Sepat: PETRONAS siasat punca kejadian
Pengumuman akhir bulan ini dijangka menjadi tumpuan kerana subsidi petrol RON95 selama ini menjadi penampan utama kos sara hidup rakyat. Keberkesanan sistem MyKad dan PADU bakal diuji, sama ada benar-benar mampu memastikan subsidi sampai kepada golongan sasaran sambil mengekalkan kestabilan kewangan negara.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Saleh turut memaklumkan bahawa pembelian minyak masak paket bersubsidi akan menggunakan sistem imbasan kod QR. Beliau menjelaskan langkah itu penting bagi mengelakkan ketirisan serta memastikan barangan subsidi benar-benar sampai kepada rakyat Malaysia, dan bukannya warga asing.








