Personaliti terkenal Amerika Syarikat, Oprah Winfrey menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya beliau menutup akses jalan peribadi di hartanah miliknya di Hawaii, sehingga menghalang penduduk yang ingin berpindah ke kawasan lebih tinggi selepas amaran tsunami dikeluarkan.
Winfrey memiliki sebuah kediaman di pulau Maui, Hawaii, lokasi yang terkesan selepas gempa bumi bermagnitud 8.8 melanda Rusia, sehingga mencetuskan amaran tsunami di sekitar rantau Pasifik.
Jurucakap Winfrey, Nicole Nichols berkata, bahawa pasukan Winfrey segera menghubungi pihak berkuasa tempatan dan Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) sebaik sahaja menerima maklumat mengenai amaran tsunami.
“Sebaik kami mendengar amaran tsunami, kami terus memastikan jalan tersebut dibuka. Sebarang dakwaan yang mengatakan sebaliknya adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, pelbagai dakwaan beremosi tersebar di media sosial, termasuk tuduhan bahawa Winfrey enggan membuka akses jalan itu langsung kepada penduduk, meskipun berlaku kesesakan teruk di pulau berkenaan.
Baca juga:
- Gorila Kiyomasa tular, muka ‘overthinking’ lepas bergaduh dengan pasangan
- Selat Hormuz ditutup sepenuhnya susulan serangan AS
- Gempa 7.8 Magnitud: Video bangunan sekolah di Mindanao, Filipina runtuh tular
Namun, pihak berkuasa Maui berulang kali menyenaraikan laluan tersebut sebagai antara jalan yang boleh digunakan semasa kecemasan melalui hebahan rasmi mereka.
Menurut Nichols lagi, pihak berkuasa tempatan turut membantu mengawal laluan tersebut dengan membenarkan 50 buah kenderaan melaluinya pada satu-satu masa. Katanya, jalan itu juga akan terus dibuka selagi mana diperlukan.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik kemudian menurunkan tahap ancaman kepada nasihat tsunami sahaja bagi Hawaii, dan arahan pemindahan di pulau Maui turut ditarik balik.
Ini bukan kali pertama Oprah berdepan penyebaran maklumat palsu. Ketika kejadian kebakaran hutan besar yang melanda Maui pada tahun 2023, terdapat teori konspirasi tidak berasas yang mendakwa beliau mengecat bumbung rumahnya dengan warna biru bagi mengelakkan ia terkena ‘laser tenaga tinggi’. Malah, ada juga yang menuduh beliau sendiri mencetuskan kebakaran sebagai helah untuk merampas tanah.
Sumber: The Straits Times








