Buat pertama kali, Qatar, Arab Saudi dan Mesir secara terbuka kutuk serangan 7 Oktober dan gesa Hamas berundur
Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Beberapa negara Arab termasuk Qatar, Arab Saudi dan Mesir menggemparkan dunia apabila secara terbuka mendesak Hamas menamatkan pemerintahannya di Gaza serta menyerahkan senjata kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Desakan itu dinyatakan dalam satu deklarasi bersama yang turut ditandatangani oleh 14 negara lain termasuk Britain, Perancis dan Kanada, selepas persidangan khas di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menjadikan ia kali pertama dunia Arab menyatakan pendirian sebegitu terhadap Hamas.
“Dalam usaha menamatkan perang di Gaza, Hamas mesti menyerahkan kuasa dan senjata kepada Pihak Berkuasa Palestin dengan kerjasama serta sokongan antarabangsa, demi merealisasikan penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka,” kata deklarasi itu.
Baca juga:
- Wanita dipecat kerana datang kerja terlalu awal, saman majikan
- Mahkamah Beijing arah MAS bayar RM1.9 juta setiap keluarga mangsa MH370
- Pegawai Daerah Aceh Selatan dipecat, tunai umrah ketika banjir besar melanda
Arab & Barat sepakat mahu Hamas disingkir, sokong dua negara
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot menyifatkan kenyataan bersama itu sebagai “bersejarah dan luar biasa”.
“Buat pertama kali, negara Arab dan Timur Tengah mengutuk Hamas, mengecam serangan 7 Oktober, menuntut pelucutan senjatanya, menolak penyertaannya dalam pemerintahan Palestin dan menyatakan hasrat jelas untuk mewujudkan hubungan rasmi dengan Israel pada masa hadapan,” katanya.
Menteri Luar Britain, David Lammy yang turut menyokong deklarasi itu ketika berucap di PBB berkata, “Hamas tidak boleh diberi ganjaran atas serangan kejam 7 Oktober. Ia mesti segera membebaskan tebusan, bersetuju dengan gencatan senjata serta-merta, menerima bahawa mereka tiada tempat dalam pemerintahan Gaza dan bersedia melucutkan senjatanya.”
Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer sebelum ini mengumumkan United Kingdom akan mengiktiraf negara Palestin jika Israel gagal memenuhi beberapa syarat termasuk menamatkan penindasan di Gaza. Kenyataan itu mencetus reaksi marah dari Amerika Syarikat, Israel dan kumpulan Yahudi.
Normalisasi hanya jika Palestin merdeka, Israel beri jaminan dua negara
Deklarasi itu turut menyeru semua tebusan dibebaskan dan pendudukan Israel di wilayah Palestin dihentikan sebagai prasyarat kepada perdamaian dan normalisasi hubungan serantau.
“Hanya dengan menamatkan perang di Gaza, membebaskan semua tebusan, menghentikan pendudukan, menolak keganasan, merealisasikan negara Palestin yang merdeka dan memberi jaminan keselamatan kepada kedua-dua pihak, barulah hubungan normal antara rakyat dan negara di rantau ini dapat dicapai,” jelas deklarasi tersebut.
Negara-negara yang menandatangani deklarasi itu turut menggesa Israel mengisytiharkan secara rasmi komitmen terhadap penyelesaian dua negara.
Baca juga:
- Mahkamah sahkan kecuaian, keluarga S Thanabalan terima RM1.1 juta
- YDP, Naib YDP Muafakat MRSM Sungai Besar saman Rita Rudaini
- Anak hilang ketika bermain, rupanya maut terhimpit dalam istana belon
Selain itu, mereka menyokong cadangan menempatkan pasukan penstabil antarabangsa di Gaza selepas perang tamat, yang akan beroperasi atas mandat Majlis Keselamatan PBB dan dengan kerjasama PA.
“Kami menyokong penempatan misi penstabilan sementara antarabangsa atas jemputan Pihak Berkuasa Palestin, dengan mandat Majlis Keselamatan PBB dan sokongan serantau serta antarabangsa,” menurut deklarasi itu lagi.
Israel dan Amerika Syarikat dilaporkan memboikot persidangan tersebut dan enggan menandatangani kenyataan bersama berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, media Arab mendedahkan bahawa Hamas sebelum ini memberi bayangan kepada media Saudi bahawa mereka sedia mempertimbangkan untuk melucutkan senjata sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut menyatakan minggu lalu negaranya akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memberi amaran pada Isnin bahawa penyelesaian dua negara kini “lebih jauh berbanding sebelum ini”.
Sumber: The Telegraph










