Neera Azizi mohon maaf isu ‘gender reveal’ di depan Kaabah | The Reporter

Neera Azizi mohon maaf isu ‘gender reveal’ di depan Kaabah

Pelakon Neera Azizi tampil memohon maaf dan memberi penjelasan berhubung isu video ‘gender reveal’ di depan Kaabah
Gambar: Instagram Neera Azizi

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pelakon dan penyampai radio, Neera Azizi tampil memberikan penjelasan dan memohon maaf berhubung isu video ‘gender reveal’ yang tular baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang dikongsikan, Neera menjelaskan bahawa tujuan asal video berkenaan dibuat hanyalah sebagai tanda kesyukuran atas kurniaan dan anugerah Allah SWT, tanpa sebarang niat lain di sebaliknya.

“Pada awalnya, tujuan video tersebut dibuat hanyalah sebagai tanda syukur atas kurniaan Allah dan tidak ada niat lebih daripada itu,” katanya.

Neera turut mengakui kekhilafan yang berlaku tanpa disedari, selain menyatakan bahawa kaedah yang digunakan mungkin dilihat kurang beradab oleh sesetengah pihak.

“Saya tidak bermaksud untuk menegakkan kesalahan yang dibuat. Tanpa sedar, kaedah yang digunakan mungkin dilihat kurang beradab. Terima kasih atas teguran yang diberikan, apa pun saya menerimanya dengan hati yang terbuka dan menganggapnya sebagai satu nasihat yang baik,” jelasnya.

Baca juga:

Menurut Neera lagi, beliau memberi jaminan bahawa kekhilafan sama tidak akan berulang pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa isu berkenaan tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak lain atau agensi pelancongan, sebaliknya merupakan kekhilafan peribadi sepenuhnya.

“Isu ini tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak atau travel agency. Ini adalah kekhilafan diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, pihak agensi In Saff Travel dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa siasatan dalaman sedang dijalankan dan pihaknya juga telah menegur individu yang terlibat.

“Kami menghormati kesucian Tanah Haram dan menghargai keprihatinan orang ramai. Sehubungan itu, kami memohon semua pihak memberikan ruang agar siasatan dapat diselesaikan secara profesional,” katanya.

Related Posts