Remuk dirempuh dari belakang, laluan sesak tujuh kilometer
Dua lelaki terbunuh selepas lori dinaiki mereka melanggar belakang sebuah treler yang berhenti di lorong susur keluar Tol Slim River, dalam insiden ngeri membabitkan tiga buah lori tengah hari Isnin.
Mangsa, S Alexander Silvam, 31, dan N Periasamy, 26, maut serta-merta selepas tercampak keluar dari lori muatan telur yang remuk teruk di bahagian hadapan. Dua lagi rakan mereka, termasuk pemandu, mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Slim River.
Menurut polis, kejadian berlaku sekitar jam 12.15 tengah hari di Kilometer 372.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan. Lori mangsa yang datang dari Ipoh dikatakan gagal mengelak treler muatan simen yang berhenti di lorong susur, sebelum melanggar bahagian kanan belakang kenderaan berat itu.
Perlanggaran tersebut turut menyebabkan lori itu terkena bahagian kiri sebuah lagi lori kontena yang sedang bergerak di lorong tengah.
Baca juga:
- Tular aksi ‘manja’ pasangan di kedai makan, JAIM jalankan siasatan
- ‘Nak bersuara tak ada masalah, tapi jangan menuduh tanpa bukti’ – Mohamad Sabu
- Syed Saddiq dan Bella Astillah ‘berguru’ bab perkahwinan dengan Wan Azizah
‘Dirempuh dari belakang, tercampak keluar’
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Mohamad memaklumkan, impak perlanggaran itu menyebabkan pagar kargo lori pecah dan kedua-dua mangsa tercampak keluar.
“Lori muatan telur rosak teruk di bahagian hadapan, treler simen rosak di bahagian pagar belakang, manakala lori kontena mengalami calar dan kemek di sisi kiri,” katanya.
Tambahnya, semakan mendapati kesemua kenderaan mempunyai lesen dan insurans yang sah. Ketika kejadian, cuaca cerah dan jalan kering.



Insiden mengakibatkan lorong kiri dan tengah ditutup sementara, menyebabkan kesesakan sepanjang tujuh kilometer. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Sinar Harian








