Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Rangkaian pemborong dan peruncit terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), mengumumkan pelanjutan waktu operasi di 50 cawangan terpilih seluruh negara bermula 5 hingga 7 September ini.
Menerusi inisiatif tersebut, cawangan yang terlibat akan dibuka dari jam 7 pagi hingga 1 pagi, sekali gus memberi lebih ruang kepada orang ramai berbelanja dengan selesa tanpa perlu terburu-buru.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin, berkata langkah ini dilaksanakan bagi menyokong rakyat memanfaatkan Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang telah mula disalurkan kerajaan.
“Mydin memahami keperluan pelanggan untuk mempunyai lebih masa membeli-belah dengan selesa. Dengan lanjutan operasi ini, kami harap kesesakan dapat dikurangkan, selain memastikan bekalan barangan asas sentiasa mencukupi,” katanya.
Baca juga:
- ‘Jangan paksa kerajaan iktiraf UEC’ – Tok Mat tegaskan soal identiti kebangsaan
- ‘Saya nak brek, tapi tertekan pedal minyak’ – Pemandu cuai langgar 20 murid sekolah
- Enggan tukar tempat duduk tepi tingkap dengan budak, wanita fail saman selepas video tular
Beliau menegaskan, Mydin kekal komited untuk mendukung usaha kerajaan meringankan kos sara hidup rakyat dengan menawarkan harga berpatutan serta jaminan bekalan barangan keperluan asas yang stabil di pasaran.
Bantuan SARA mula dikreditkan kepada penerima bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025, dan Mydin melihat inisiatif lanjutan operasi ini sebagai sokongan tambahan untuk memudahkan rakyat berbelanja secara lebih teratur.
Tambah Ameer, pendekatan ini diharap bukan sahaja memudahkan urusan pelanggan, malah mengelakkan kesesakan di pasar raya.
Sumber: Harian Metro, Mydin










