Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang murid lelaki Tahun Satu maut selepas motosikal yang dinaiki bersama abangnya dan seorang rakan bertembung dengan sebuah van di Kampung Charok Putih, Baling, Kedah.
Abang mangsa berusia 10 tahun yang menunggang motosikal dan rakannya membonceng di bahagian belakang dilaporkan mengalami cedera parah.
Mangsa yang membonceng di bahagian tengah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Azmi Mokhtar berkata, ketika kejadian, van dinaiki tiga lelaki yang merupakan peniaga pasar malam dalam perjalanan menghala ke Kampung Bandar, manakala motosikal dinaiki tiga kanak-kanak terbabit dari Kampung Charok Putih menghala ke Kampung Surau.
“Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal terbabit dipercayai keluar secara tiba-tiba dari simpang sebelah kiri untuk membelok ke kanan menyebabkan van tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal melambung dan jatuh ke dalam longkang sebelah kanan jalan manakala adik dan rakannya tersepit di bahagian tayar hadapan van,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang berusia tujuh tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala, abangnya cedera di leher dan luka pada badan, manakala rakan mereka patah kaki kanan dan luka pada badan.
“Pemandu van berusia 26 tahun mengalami luka pada kaki dan tangan, manakala dua penumpangnya berusia 46 dan 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian








