Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Mpox yang dahulunya dikenali sebagai Monkeypox, kini kembali dengan varian baru yang lebih menular dan berbahaya. Varian Clade 1b telah menyebabkan lonjakan kes di beberapa negara, termasuk di luar Afrika. Di Republik Demokratik Kongo sahaja, lebih daripada 14,000 kes dan 511 kematian telah dilaporkan sejak awal tahun 2024.
Mpox telah merebak ke beberapa negara di Afrika seperti Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda. Penyebaran ini menunjukkan potensi ancaman global yang lebih luas. WHO telah mengisytiharkan keadaan darurat kesihatan global untuk menangani penyebaran varian baru ini.
Di Malaysia, tiada kes baharu Mpox dilaporkan setakat ini. Tahun lalu, Malaysia telah merekodkan sembilan kes, dengan kes terakhir dilaporkan pada November 2023. Semua kes tersebut telah sembuh dan tiada kematian dilaporkan.
Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan seperti mengelakkan sentuhan langsung dengan individu yang dijangkiti dan menjaga kebersihan diri.
Simptom Mpox biasanya muncul dalam masa 5 hingga 21 hari selepas terdedah kepada virus. Gejala awal termasuk demam, sakit kepala dan pembengkakan kelenjar getah bening. Sakit otot dan sakit punggung juga sering berlaku. Selain itu, pesakit mungkin mengalami kelelahan dan panas dingin.
Ruam adalah gejala utama Mpox, yang biasanya bermula di muka dan kemudian merebak ke bahagian tubuh lain, termasuk tapak tangan dan kaki. Ruam ini melalui beberapa peringkat, bermula dengan bintik merah, kemudian menjadi lepuh yang berisi cecair dan akhirnya mengeras serta berkerak sebelum jatuh.
Lesi kulit yang kelihatan seperti lepuh atau luka boleh muncul di muka, tangan, kaki, alat kelamin dan kawasan sekitar anus. Jika anda mengalami gejala-gejala ini atau mempunyai sebarang kebimbangan, adalah penting untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin.








