Satu hantaran mesej yang tular di media sosial mendedahkan arahan majikan sebuah syarikat kepada semua pemandunya supaya menggunakan subsidi petrol BUDI Madani (BUDI95) bagi mengisi minyak kenderaan bermula 30 September.
Menerusi mesej berkenaan juga, pihak syarikat turut meminta supaya menggunakan kad pengenalan keluarga jika telah kehabisan kuota.
“Mula 30/9, semua driver wajib guna IC isi minyak. Jika habis kuota, cuba dapatkan IC ahli keluarga. Tolong jimat-jimat penggunaan minyak,” katanya.

Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Arahan itu dipercayai dikeluarkan bagi mengurangkan kos operasi syarikat setelah kerajaan melaksanakan mekanisme penyasaran subsidi bersasar untuk petrol RON95. Namun, tindakan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pekerja yang berpendapat majikan sepatutnya menanggung kos bahan bakar kenderaan syarikat, bukannya menggunakan subsidi individu.
BUDI Madani diperkenalkan kerajaan untuk memastikan subsidi petrol sampai kepada golongan yang benar-benar layak, khususnya rakyat berpendapatan sederhana dan rendah. Penggunaan bantuan itu untuk kepentingan syarikat boleh menimbulkan risiko penyelewengan dan salah guna.
Isu ini mencetuskan perdebatan di media sosial. Ramai berpendapat majikan tidak wajar memindahkan beban kos operasi kepada pekerja. Mereka turut mencadangkan agar supaya majikan tersebut memohon Fleet Card.








