'Menggigil lutut tengok pelanggan beratur panjang' - Penangan review Khairul Aming, pemilik warung raih jualan RM10k sehari - The Reporter

‘Menggigil lutut tengok pelanggan beratur panjang’ – Penangan review Khairul Aming, pemilik warung raih jualan RM10k sehari

Sumber gambar: TikToker Orang Awam

Pempengaruh yang terkenal dengan tagline ‘Hi,guys!’ Khairul Aming baru-baru ini telah membuat ulasan di sebuah warung cendol yang terletak di Taman Melati.

Penangan ulasan jujur dari Khairul Aming itu membuatkan gerai tersebut diserbu ribuan pelanggan kurang dari 24 jam ulasan dibuat.

Memetik sebuah laporan, pemilik warung berkenaan menyatakan dia tidak pernah melihat keadaan seperti itu sebelum ini.

“Menggigil lutut saya tengok pelanggan beratur panjang di depan warung saya kerana tak pernah lihat keadaan itu sebelum ini.

Kunjungan luar biasa

Ahmad Nizam berkata, sudah 10 tahun dia berniaga di situ namun tidak pernah menerima kunjungan pelanggan luar biasa jadi amat terkejut dengan sambutan diterima.

“Pagi Jumaat lalu, Khairul Aming datang ke warung saya dan sebenarnya sudah banyak kali dia datang, kebiasaannya bersama rakannya.

“Kiranya, dia adalah pelanggan tetap saya dan gemar pesan mi bandung serta bihun sup selain cendol pulut yang dijual pada harga RM1.

“Cuma pada hari berkenaan, dia minta izin buat ulasan dan mulanya saya tak nak kerana pengikutnya ramai tapi dia minta saya cuba sekali.

“Jadi, saya ambil peluang itu untuk buktikan pada dia yang peniaga kecil macam saya pun boleh,” katanya.

Berbeza dengan situasi sebelumnya, bapa kepada tujuh orang ini berkata pelanggannya sudah bertambah sehinggakan dia terpaksa menambah empat lagi pekerja.

“Sebelum ini tak ramai (pelanggan) dan hanya ada lima orang saja yang bekerja di warung iaitu saya dan isteri kedua sebagai tukang masak, isteri pertama di kaunter dan dua lagi pekerja.

“Tapi sejak warung saya tular, saya boleh dapat kira-kira 5,000 pelanggan sehari hingga terpaksa tambah empat lagi pekerja cuma saya kekal sebagai tukang masak untuk kekalkan rasa masakan.

“Jika dulu saya pesan 50 paket pes mi bandung saja dari Muar tapi kini bertambah kepada 400 hingga 500 paket bagi menampung permintaan pelanggan,” katanya

Keuntungan cecah RM 8,000- RM 10,000 sehari

Hasil keuntungan yang diperolehi jugak meningkat berganda daripada RM800 kepada kira-kira RM8,000 hingga RM10,000 sehari. Dalam pada itu, Nizam bersyukur dan berterima kasih kepada Khairul Aming atas promosi yang dibuat. Dia juga memuji sikap Khairul Aming yang merendah diri.

“Walaupun dia (Khairul Aming) pempengaruh dan usahawan berjaya tapi sangat merendah diri malah buat ulasan pun tak minta bayaran.

“Saya berbesar hati kerana dia pun idola saya sebenarnya malah ada hantar kiriman WhatsApp kepadanya untuk ucap terima kasih dan hanya Allah mampu membalas kebaikannya.

“Terima kasih juga kepada semua pelanggan yang datang dan sanggup beratur serta menunggu sampai sejam atau lebih dalam keadaan panas serta adakalanya hujan.

“Diharap semua terus menyokong dan saya akan cuba untuk beri layanan terbaik serta pastikan makanan cukup bagi tidak menghampakan pelanggan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!