Maritim Malaysia Terengganu menahan dua bot bersama sebuah platform terapung yang menunda sebuah kereta berhampiran Pulau Bidong dalam Operasi Iman, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, sebuah bot penumpang digunakan untuk menunda platform berkenaan manakala sebuah lagi bot dikesan beroperasi tanpa lesen sah.
Beliau menjelaskan, platform berkenaan dibina tanpa kelengkapan keselamatan yang sewajarnya dan dijadikan lokasi penggambaran seorang pempengaruh media sosial bersama kru serta penumpang. Situasi itu, jelasnya, mengundang risiko kepada semua yang terlibat termasuk pengguna perairan lain.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
Seramai enam kru termasuk nakhoda dan enam penumpang warga tempatan ditahan, sebelum dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 2 pagi untuk siasatan lanjut.
“Kesemua bot, kru serta penumpang telah dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 2.00 pagi hari ini untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melanggar syarat sah lesen, beroperasi tanpa lesen yang sah serta melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran,” jelasnya lagi.
Maritim Malaysia menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim.
“Maritim Malaysia menyokong aktiviti pelancongan dan kreativiti anak muda, namun ia mestilah dilakukan mengikut peraturan sedia ada demi menjamin keselamatan nyawa serta kelestarian sektor maritim negara,” tambah beliau.








