Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Manchester United tewas 2-0 kepada Wolves dalam perlawanan Liga Perdana yang berlangsung di Molineux pada Khamis 26 Disember. Kekalahan ini menjadi perhatian apabila Bruno Fernandes dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari Nelson Semedo, sekali gus mengundang kritikan pengurus United, Ruben Amorim.
“Kad merah itu sangat menyukarkan kami. Bermain dengan 10 pemain dalam liga ini memang sukar. Kami cuba bertahan, tetapi gol kedua Wolves melalui serangan balas memusnahkan harapan kami,” kata Amorim selepas perlawanan.
Gol pembukaan hadir menerusi Matheus Cunha, apabila sepakan penjuru derasnya terus menembusi Andre Onana. Wolves memastikan kemenangan penting pada minit ke-98 melalui jaringan Hwang Hee-chan. Kemenangan ini membawa mereka keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana, memberikan suntikan semangat kepada pasukan kendalian Gary O’Neil.
Amorim turut meluahkan rasa kecewanya terhadap kekurangan disiplin dalam pasukan.
“Saya rasa dia (Fernandes) tidak boleh ke arah bola. Dia cuba merebut bola, tetapi ada pemain lain yang langsung tidak melihat bola. Walau bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu fokus pada insiden itu. Apa yang penting, kami tetap mencuba walaupun dengan 10 pemain, dan kami hampir menjaringkan gol,” katanya.
Pengurus itu turut mengakui pasukannya masih bergelut untuk mempamerkan persembahan konsisten.
“Kami perlu memperbaiki hubungan antara pemain. Ada beberapa detik baik, tetapi kami kekurangan agresif. Kami tidak sempat berlatih secukupnya, hanya bermain dan cuba mencari jalan terbaik untuk menang,” jelasnya. – Agensi








