'Malu dapat, sakit pun dapat' - Rider terjatuh selepas gagal tendang side mirror kereta - The Reporter

‘Malu dapat, sakit pun dapat’ – Rider terjatuh selepas gagal tendang side mirror kereta

Tular video di media sosial seorang penunggang motosikal terjatuh selepas cubaannya menendang sebuah kereta gagal dan memakan dirinya sendiri.

Difahamkan, kejadian itu berlaku pada jam 8.33 pagi Isnin, di persimpangan lampu isyarat, berdekatan Bukit Raja Flyover, Klang.

Berdasarkan video rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 18 saat itu, penunggang motosikal terbabit yang berada di lorong tengah masuk ke lorong kanan tanpa menyalakan lampu isyarat.

Sebuah kereta berwarna putih yang berada di lorong tengah dilihat sudah lama menyalakan lampu isyarat untuk masuk ke lorong kanan.

Namun apabila pemandunya cuba masuk ke lorong tersebut, penunggang motosikal itu membunyikan hon beberapa kali. Pemandu berkenaan meneruskan pemanduan dan masuk ke lorong kanan secara perlahan-lahan.

Tidak berpuas hati bunyi honnya tidak diendahkan, penunggang motosikal itu beralih ke bahagian kiri kenderaan tersebut dan cuba menendang cermin sisi. Malangnya, perbuatan khianatnya itu mengundang padah apabila dia hilang kawalan lalu terjatuh dan kepala terhentak di belakang sebuah kenderaan lain yang berada di lorong tengah.

Tidak diketahui apa yang berlaku selepas itu dan bagaimana keadaan penunggang tersebut. Tetapi di media sosial, netizen menganggap apa yang berlaku adalah balasan di atas perbuatan khianatnya itu.

“Elok-elok boleh sampai ke rumah dengan tenang, tak pasal-pasal balik rumah dengan memikul masalah. Terpaling acah gangster, last-last jatuh. Kereta tu dah bagi signal nak tukar lane, apa salahnya bagi masuk,” kata netizen.

“Kalaulah dia bersabar sedikit, boleh balik awal jumpa anak, badan tak sakit, esok pergi kerja takde masalah, motor pun tak calar, tak rosak, tak kena viral dan tak kena saman. Ini dia pilih emosi. Bak kata orang-orang tua, malu dapat, sakit pun dapat,” tambah netizen.

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!