Makan ikan semasa hamil dapat mengurangkan risiko AUTISME sebanyak 20% - Kajian - The Reporter

Makan ikan semasa hamil dapat mengurangkan risiko AUTISME sebanyak 20% – Kajian

Foto hiasan sahaja

Saintis telah mengenal pasti makanan tertentu yang boleh mengurangkan risiko autisme pada kanak-kanak jika diambil semasa mengandung.

Dalam satu kajian baru yang disokong oleh Institut Kebangsaan Kesihatan (National Institutes of Health) mendapati bahawa, pengambilan ikan sekurang-kurangnya sekali sebulan semasa mengandung dapat mengurangkan risiko autisme sebanyak 20 peratus.

Pasukan penyelidik mengesyorkan pengambilan ikan semasa mengandung dapat mengurangkan risiko kanak-kanak didiagnosis dengan autisme dan mengurangkan kemungkinan ciri-ciri berkaitan autisme pada masa dewasa kelak.

Ikan mengandungi nutrien penting seperti asid lemak omega-3 yang dapat memberi manfaat kepada perkembangan otak, pertuturan dan pendengaran bayi serta sistem saraf.

Individu yang didiagnosis dengan autisme mungkin menghadapi kesukaran untuk memahami komunikasi dengan orang lain, termasuk nada suara, bahasa badan dan ekspresi wajah.

Hampir 4,000 wanita terlibat dalam kajian ini

Para saintis masih belum mengenal pasti punca Gangguan Spektrum Austime (ASD) ini dan belum menemui rawatan yang tepat. Tetapi diagnosis awal adalah penting unttuk membantu kanak-kanak menjalani kehidupan yang lebih baik.

Pasukan saintis yang diketuai oleh Universiti Drexel telah menganalisis hampir 4,000 wanita untuk kajian ini. Peserta kajian ditanya tentang pengambilan ikan dan penggunaan suplemen minyak ikan semasa mengandung seperti yang diterbitkan dalam The American Journal of Clinical Nutrition.

Lebih 1,377 wanita melaporkan mereka tidak mengambil ikan langsung semasa mengandung. Namun, pasukan penyelidik tidak menemui hubungan yang sama atara pengambilan suplemen asid lemak omega-3 dan risiko autisme yang lebih rendah.

Kajian menyatakan terdapat beberapa penjelasan yang mungkin mengapa suplemen omega-3 tidak seberkesan seperti pengambilan ikan, termasuk perbezaan dalam jumlah pendedahan terus kepada nutrien dalam pil berbanding pengambilan semulajadi. Pasukan penyelidik membuat andaian, berkemungkinan suplemen mengandungi bahan tambahan atau pencemar berbanding ikan.

Turut beri manfaat kesihatan lain

Pihak Pentadbiran Ubatan dan Makanan (FDA) juga menyatakan, terdapat bukti kukuh pengambilan ikan semasa mengandung memberikan manfaat kesihatan lain, termasuk kesihatan jantung dan tulang yang lebih baik, pengurangan risiko kanak-kanak menjadi gemuk atau obes, dan risiko yang lebih rendah terkena kanser kolon dan rektum.

Wanita mengandung dinasihatkan untuk mengambil antara lapan hingga 12 auns ikan setiap minggu, atau dua hingga tiga hidangan untuk membantu perkembangan janin.

Walau bagaimanapun, para penyelidik mendapati 25 peratus wanita tidak mengambil ikan langsung semasa mengandung dan 65 hingga 85 peratus melaporkan mereka tidak mengambil suplemen omega-3.

FDA telah memberi amaran, walaupun ikan adalah sebahagian penting dalam diet, wanita harus memastikan mereka menghadkan jumlah makanan laut bermerkuri tinggi yang mereka ambil semasa mengandung.

Tahap merkuri yang tinggi terdapat dalam ikan pedang, ikan yu, kerang mentah dan ikan yang dibakar atau disalai, termasuk ikan masin.

Pendedahan kepada merkuri boleh menyebabkan kerosakan teruk pada otak dan sistem saraf bayi, serta mengakibatkan masalah ketidakupayaan belajar serta kehilangan pendengaran. – Agensi

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!