Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki etnik Rohingya yang dikenali sebagai ‘Long Tiger’ dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Muar, Johor hari ini selepas didapati bersalah merogol wanita berstatus isteri orang pada tahun 2019.
Lapor Harian Metro, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 36, kelihatan berang sebaik keputusan diumumkan dan mengugut akan membaling selipar sekiranya gambarnya diambil oleh pihak media.
Hakim Irwan Suainbon ketika membacakan penghakiman berkata, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh tidak mampu menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, malah keterangan isterinya yang menjadi saksi pembelaan turut dianggap rekaan dan tidak meyakinkan.
“Pembelaan yang dikemukakan sekadar penafian semata-mata dan gagal menyanggah kes prima facie yang berjaya dibuktikan pihak pendakwaan,” katanya.
Long Tiger didakwa merogol seorang wanita berusia 19 tahun yang juga pekerjanya di sebuah rumah di Taman Sri Jaya, Bukit Gambir, Tangkak pada 26 September 2019, antara pukul 1 tengah hari hingga 2.05 petang.
Kes itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Arif Marzuki dalam hujahnya menyifatkan jenayah itu amat menjijikkan kerana dilakukan terhadap mangsa yang baru mengalami keguguran beberapa hari sebelum kejadian.
“Kesalahan ini bukan sahaja serius, malah meninggalkan kesan trauma mendalam kepada mangsa,” katanya.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 7 Ogos 2021. Ketika ini, Long Tiger sedang menjalani hukuman penjara empat tahun bagi kes mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.
Pada Januari 2022, dia turut dikenakan hukuman penjara 12 bulan oleh mahkamah sama kerana melarikan diri daripada tahanan polis pada Disember 2021. Mahkamah Tinggi Muar juga sebelum ini membatalkan pelepasan bersyaratnya berhubung satu lagi kes mengikut Seksyen 388.








