Jika sebelum ini kita sering melihat majlis perkahwinan anggota polis dan tentera diraikan dengan istiadat rasmi lengkap dengan pakaian seragam dan lintasan pedang, kali ini tular pula video majlis perkahwinan melibatkan pengawal keselamatan yang mencuri perhatian ramai.
Dalam video yang dimuat naik di TikTok, kelihatan sekumpulan pengawal keselamatan lengkap berpakaian seragam membuat lintasan kehormat kepada pasangan pengantin menggunakan cota. Mereka berdiri dalam barisan sambil mengangkat cota membentuk laluan kehormat, seakan-akan upacara dalam majlis rasmi pasukan beruniform.
Apabila tiba sahaja pengantin, seorang ketua yang mengetuai lintasan kehormat berkenaan memberikan arahan kepada pengawal yang lain.
Dengan kawalan pergerakan yang teratur dan persembahan penuh disiplin, suasana majlis itu tampak istimewa dan menyentuh hati ramai.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Gorila Kiyomasa tular, muka ‘overthinking’ lepas bergaduh dengan pasangan
- Selat Hormuz ditutup sepenuhnya susulan serangan AS
Rata-rata netizen memuji usaha dan kreativiti yang dibuat dalam meraikan hari bahagia ketua atau teman sekerja mereka dengan penuh bangga terhadap profesion sendiri. Ada juga yang menyifatkan ia sebagai satu bentuk penghargaan terhadap kerjaya pengawal keselamatan yang sering dipandang sebelah mata.
“Hebat! Kita berbeza uniform tapi kita sama-sama jaga amanah demi agama, bangsa dan negara,” tulis seorang netizen.
“Semoga menjadi kenangan terindah sepanjang hayat… Berbanggalah dengan apa sekalipun kerja kita asalkan halal dan berkat… Selamat pengantin baru Tuan,” tulis netizen yang lain.











