Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu pagi tadi menyaksikan lima remaja perempuan dihadapkan atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap arwah Zara Qairina Mahathir.
Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus yang mendengar kes itu mengarahkan prosiding berlangsung secara tertutup selaras dengan peruntukan undang-undang.
Insiden tersebut didakwa berlaku di sebuah sekolah di Papar antara jam 10 hingga 11 malam pada 15 Julai lalu. Pihak pendakwaan menyatakan kata-kata yang dilemparkan berkemungkinan menjejaskan emosi mangsa berusia 13 tahun itu.
Baca juga:
- Gorila Kiyomasa tular, muka ‘overthinking’ lepas bergaduh dengan pasangan
- Selat Hormuz ditutup sepenuhnya susulan serangan AS
- Bukan Masalah Boros Tapi Realiti, Ini Cara Survive Makan Kenyang Tanpa Perlu Belanja Besar Sebelum Hujung Bulan
Jaminan RM5,000 setiap seorang
Kelima-lima tertuduh bagaimanapun menafikan pertuduhan yang dibacakan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan bersama Seksyen 34 kanun sama. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad ketika ditemui selepas prosiding berkata, “Tidak ada pengakuan salah, 25 September ini tarikh sebutan semula. Setiap tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 dengan RM1,000 deposit dan seorang penjamin.”
Beliau menambah, hanya butiran asas pertuduhan boleh didedahkan kerana mahkamah telah mengeluarkan perintah larangan terhadap maklumat lain yang dibentangkan.
Sumber: Bernama, Harian Metro










