Pemergian insan tersayang amat meninggalkan kesan di hati, apatah lagi jika yang pergi itu merupakan insan paling rapat dalam keluarga terutamanya ibu dan ayah.
Kehilangan ibu ibarat hilang tempat mengadu, tempat bermanja dan mencari kekuatan saat diri mula tewas. Tiada lagi suara lembut menenangkan, tiada lagi doa yang setia mengiringi setiap langkah kehidupan.
Perasaan ini turut dirasai oleh seorang pemuda dikenali sebagai Nurhafizi, seorang Orang Kurang Upaya (OKU) yang pekak dan bisu sejak kecil. Kisahnya meruntun jiwa netizen selepas tular sebuah video memaparkan dirinya berdiri di hadapan pusara ibunya sambil menyampaikan ‘bicara hati’ menggunakan bahasa isyarat.
Video yang dirakam oleh ibu saudaranya telah meraih lebih 3.5 juta tontonan di TikTok.
Menurut ibu saudaranya, ibu Hafizi telah meninggal dunia akibat penyakit kanser kira-kira lapan bulan lalu. Sejak pemergian ibunya, Hafizi kini tinggal bersama neneknya.
“Terima kasih semua yang mendoakan. Anak buah saya pekak dan bisu sejak kecil. Ibunya meninggal sebab kanser.
“Sekarang dia tinggal dengan nenek jadi setiap hari Jumaat, dia akan ziarah kubur ibunya,” katanya.








