Pemenang hadiah kedua terbesar dalam sejarah loteri Mega Millions, telah mengheret isteri yang juga ibu kepada anak perempuannya ke mahkamah kerana memberitahu ibu bapa mertuanya tentang kemenangan itu. Walaupun sebelum ini wanita berkenaan telah menandatangani surat perjanjian untuk merahsiakan kemenangan tersebut.
John Doe mendakwa, isterinya, Sara Smith, adalah salah seorang daripada beberapa individu yang mengetahui tentang kemenangan tersebut pada Januari 2023. Di mana John berjaya memenangi $1.35 bilion (RM7 bilion), hadiah loteri keempat terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat.
Sara diminta untuk menandatangani perjanjian kerahsiaan yang menghalangnya daripada mendedahkan perkara itu kepada sesiapa sahaja, selama hampir satu dekad. Namun, Sara didapati telah melanggar perjanjian itu dengan memberitahu ibu bapa mertua dan adik iparnya.
Kini, John menuntut Sara membayar pampasan tidak kurang daripada $100,000 (RM466,500) untuk setiap pendedahan yang dilakukannya.
Sara dalam tuntutan itu, dilaporkan bersetuju untuk menandatangani perjanjian kerahsiaan yang menyatakan bahawa dia mesti merahsiakan kemenangan John. Sehingga 1 Jun 2032, apabila anak perempuan mereka mencapai usia dewasa. Sekiranya Sara secara tidak sengaja mendedahkan rahsia itu, dia dikehendaki memberitahu John dalam masa 24 jam.
Bagaimanapun, peguam mewakili John mendakwa Sara gagal berbuat demikian selepas memberitahu ibu bapa mertuanya mengenai perkara tersebut semasa berbual melalui panggilan telefon. Perkara itu turut diketahui oleh adik perempuan John yang mendengar perbualan mereka.
John kini meminta Sara membayar sekurang-kurangnya $100,000 (RM466,500) sebagai pampasan, serta menanggung kos litigasi dan perlu memaklumkan kepadanya siapa lagi yang dimaklumkan mengenai kemenangannya itu.
Sumber: Oddity Central








