Tragedi pagi di Jalan Sri Bengkal, Batu Pahat meragut nyawa seorang lelaki apabila besi penyambung longshaft seberat lebih 100 kilogram tercabut daripada lori tipper, lalu menembusi cermin hadapan Perodua Alza yang dinaikinya.
Mangsa, Juhari Murid, 63, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di muka, manakala isteri dan tiga adiknya terselamat tanpa kecederaan.
Kejadian berlaku sekitar jam 8.30 pagi ketika mereka dalam perjalanan dari Senggarang ke FELDA Pemanis, Segamat atas urusan keluarga. Difahamkan, kenderaan keluarga itu berselisih dengan lori terbabit sebelum besi berkenaan tercabut dan melantun ke arah mereka.

“Hati saya berat nak lepaskan ayah,” anak mangsa
Anak mangsa, Noor Shahin, 31, berkata beliau seakan dapat merasakan sesuatu yang tidak baik sejak semalam apabila ibunya memaklumkan hasrat untuk ke Segamat bersama arwah ayah.
“Rupa-rupanya itu petanda saya akan kehilangan ayah,” katanya sebak.
Baca juga:
- Bidan tersalah alamat disangka penjenayah, cetus kekecohan di Bandar Scientex
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
Beliau turut berkongsi kali terakhir mereka berhubung melalui panggilan video, arwah kelihatan gembira dan tidak sabar bertemu cucunya berusia tiga bulan.
“Ayah cakap rindu cucu. Tapi kali ini saya pulang hanya untuk tatap jenazahnya,” katanya.
Keluarga tuntut keadilan
Adik lelaki mangsa, Mohd Danis Hakim, 22, menuntut tindakan tegas terhadap pemilik lori atau syarikat terbabit kerana kecuaian itu mengorbankan nyawa orang tidak bersalah.

“Saya tahu ajal maut ketentuan Ilahi, tapi kecuaian ini tak sepatutnya berlaku,” ujarnya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, mengesahkan laporan telah diterima dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden.
Sumber: Berita Harian








