Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki tempatan disyaki mengelar isterinya beberapa kali sebelum mencederakan dirinya sendiri dalam kejadian di Kota Bayu Emas, Klang, semalam.
Menurut Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian itu berlaku pada jam 1 petang semasa pasangan tersebut dalam perjalanan ke sebuah kedai makan dengan menaiki kenderaan Mazda CX5.
Berlaku pertengkaran di antara mereka dan suspek berusia 50 tahun tiba-tiba menghentikan kereta dan mengelar isterinya berusia 49 tahun, menggunakan pisau beberapa kali.
Mangsa yang ketakutan segera keluar dari kereta dan meminta bantuan orang ramai. Manakala, suspek melarikan diri apabila sebuah kereta berhenti untuk membantu mangsa.
Polis kemudian menemui kenderaan tersebut berhenti di Jalan Batu Nilam. Suspek ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kereta.
Anggota polis terpaksa memecahkan tingkap untuk membuka pintu dan menyelamatkan suspek yang mengalami luka kelaran di kedua-dua belah pergelangan tangan. Selain itu, turut ditemui luka di bahagian badan termasuk leher, bahu, kaki dan belakang badan yang dipercayai cubaan untuk mencederakan dirinya.
Kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk mendapatkan rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Sumber: Malaysia Gazette