Seorang lelaki ditemui maut selepas dipercayai terperangkap dalam sebuah stor berkunci di fasiliti sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi.
Memetik laporan Berita Harian, mangsa ditemui dalam stor peralatan pembersihan di UPSI Sport Bowl.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada jam 1.57 pagi bagi membantu membuka pintu stor yang berkunci.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim digerakkan ke lokasi kira-kira 9 kilometer dan tiba pada jam 2.07 pagi.
“Setibanya di lokasi, pintu stor telah dibuka oleh polis bantuan UPSI. Anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemantauan di lokasi,” katanya.
Baca juga:
- Bangunan bertingkat didiami Rohingya di Sungai Makau akan diroboh ikut undang-undang

- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA

- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis.
Dalam pada itu, perkara berkenaan turut disahkan oleh Naib Canselor UPSI menerusi hantaran di Facebook. Menurut kenyataan tersebut, mangsa, Radzi Ariffin, merupakan pekerja syarikat swasta Sports Bowling yang beroperasi di UPSI dan disyaki mengalami serangan jantung.
“Beliau disyaki mengalami serangan jantung. Post Mortem sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa di Hospital Slim
“Insyallah jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Bernam,” katanya.








