Lelaki disyaki dera kucing telah ditahan di kediamannya | The Reporter

Lelaki disyaki dera kucing telah ditahan di kediamannya

penderaan kucing

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun, yang disyaki terlibat dalam kes penderaan kucing berdasarkan video tular di media sosial, telah ditahan oleh pihak polis di kediamannya, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan video berdurasi sembilan saat yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok kira-kira jam 5.26 petang kelmarin. Video tersebut kemudian menjadi tular dan menarik perhatian ramai.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields telah menahan suspek kira-kira jam 6.10 petang di rumahnya,” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

Menurut Datuk Rusdi, pihak polis telah memohon perintah reman terhadap suspek hari ini untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa kucing tersebut telah berjaya diselamatkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

“Kami dimaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah segera menyelamatkan kucing tersebut untuk pemeriksaan lanjut. Lelaki yang terlibat kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan SAFM.

Selain itu, satu video yang dimuat naik oleh pengguna TikTok, Nana Is Nanaaa, turut memaparkan tindakan pantas anggota DVS menyelamatkan kucing berkenaan, sekali gus menerima pujian daripada netizen.

Related Posts