Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki warga Poland, Damian Wojnilowicz, 36, dijatuhkan hukuman penjara selama 22 bulan kerana memecah masuk ke dua buah rumah di Newport, Wales, dan melakukan kerja-kerja rumah seperti menggantung pakaian dan membersihkan lantai.
Wojnilowicz, didakwa atas tuduhan pecah rumah selepas menceroboh dua rumah berbeza pada musim panas lalu. Tertuduh bukan sahaja menggantung pakaian dan mengemas rumah, malah sempat menikmati sedikit wain.
Dalam satu kes, tertuduh meninggalkan sekeping nota bertulis “Jangan risau, gembira, makan dan bergaru!” kepada pemilik rumah. Namun, tindakannya itu tidak dihargai oleh mangsa.
Mangsa kejadian pertama, seorang wanita berasal dari Monmouthshire, pulang ke rumah pada 16 Julai dan mendapati tong kitar semula telah dikosongkan, bekas makanan burung telah diisi semula, dan beberapa pasu tanaman di halaman rumahnya telah dialihkan. Perubahan yang tidak dijangka itu membuatkan mangsa takut dan terpaksa tinggal bersama rakan-rakannya buat sementara waktu.
“Saya hidup dalam ketakutan yang tak pernah saya alami sebelum ini. Saya bimbang jika dia mengenali saya, atau tahu saya tinggal seorang diri,” katanya.
Dalam kejadian kedua pada 29 Julai, seorang pemilik rumah lain menerima notifikasi daripada aplikasi CCTV menunjukkan Wojnilowicz telah masuk ke rumahnya. Lelaki itu hanya mampu menonton dari jauh ketika suspek memasuki rumah, menuang wain, membasuh pakaian dan mandi. Anak menantu pemilik rumah tiba tepat pada masanya untuk menghalau suspek, yang kemudian ditahan polis.
Peguam Wojnilowicz memberitahu Mahkamah bahawa, anak guamnya ketika itu tidak mempunyai tempat tinggal dan meminta maaf atas kesulitan yang berlaku. Mereka juga meminta mahkamah mempertimbangkan Wojnilowicz tidak mencederakan sesiapa. Tertuduh mengaku bersalah atas kedua-dua tuduhan pecah rumah.
Mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara 22 bulan ke atas Wojnilowicz, dengan menyifatkannya sebagai ‘risiko kepada orang awam’. Setakat ini, dia masih belum menerima ucapan terima kasih atas kerja rumah yang dilakukan. – Agensi








